BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 17, 2010

Konsep Pengujian, Pengukuran dan Penilaian

Dalam membuat sebarang keputusan sama ada mudah atau sukar, penilaian wajar dilakukan terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan penentuan objektif, mendapatkan maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan serta keputusan. Apabila proses yang dijalankan itu dibuat secara bersistem dan saintifik, maka keputusan yang diperoleh lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil benar-benar sesuai.

Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sains perlakuan dan sains kemasyarakatan bermula dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur kebolehan individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian berkembang sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran, penilaian dan pentaksiran. Dalam pengukuran, individu didedahkan kepada pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh, pengukuran yang dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak adalah melalui ujian Stanford-Binet, Raven-Matrices, Weschler dan A.C.E.R.

Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan yang utama perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan tujuan penilaian dijalankan. Contohnya, untuk menentukan sama ada taraf bacaan murid di sekolah rendah berada pada tahap yang tidak memuaskan, memerlukan guru mengambil satu tindakan yang lain daripada tindakan yang pernah diambil. Kedua, berkaitan dengan pemilihan model, iaitu alat-alat prosedur dan cara untuk menjalankan penganalisisan. Seseorang penilai akan memilih model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

Penilaian ialah konsep yang digunakan dalam pelbagai bidang yang mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mem­buat penilaian, anggaran boleh dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat pen ting dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesai-kan merupakan pencapaian terhadap sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) kepada murid sekolah rendah.

Dalam membuat penilaian, anda mungkin kerap berhadapan dengan pelbagai masalah atau persoalan. Misalnya, adakah bukti mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian, anda akan dapat merancang Langkah-langkah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dengan lebih teratur dan bersistem.

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian merupakan proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau prosedur yang bersistem bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau murid.

0 comments: