BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, January 24, 2011

Tujuan Penilaian Sumatif

Pada umumnya, penilaian sumatif digunakan untuk menentukan pencapaian murid sebagai satu kumpulan dengan membezakan antara pencapaian pelajar berdasarkan gred yang telah ditentukan. Selain itu, penilaian sumatif juga bertujuan untuk mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar. Hal ini berdasarkan skor yang diperoleh oleh pelajar dalam penilaian yang dijalankan.

Guru atau pendidik juga dapat membuat ramalan akan kejayaan murid dalam sesuatu mata pelajaran. Pencapaian pada peringkat awal biasanya mempunyai perhubungan yang tinggi dengan peringkat pencapaian yang seterusnya. Misalnya, kemahiran mengenal huruf murid akan menjadi ramalan kepada kemahiran untuk menyusun huruf-huruf dalam membentuk perkataan pada masa depan.

Penilaian sumatif juga dapat dijadikan petunjuk dalam memulakan sesuatu kursus baharu yang berkaitan. Sebelum memulakan sesuatu kursus baharu murid dikehendaki terlebih dahulu menduduki ujian yang menentukan peringkat pencapaian mereka agar dapat memastikan murid berkenaan telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan dalam se­suatu kursus baharu berkenaan. Sekiranya murid berkenaan sudah mencapai peringkat tertentu, barulah mereka dibenarkan untuk mengambil kursus tersebut.

Selain itu, keputusan penilaian sumatif juga dapat memperlihatkan peringkat pencapaian yang berbeza mengikut kumpulan. Item yang sama ditadbir kepada beberapa kumpulan bagi tujuan membuat perbandingan pencapaian yang diperoleh. Dengan cara itu, perbandingan pencapaian dapat dibuat dalam menentukan kelompok pelajar lemah, sederhana dan cemerlang serta kelas (bilik darjah) yang lemah dan cemerlang.

Kesimpulannya, penilaian sumatif ialah penilaian yang dijalankan telah lama dilaksanakan dalam dunia pendidikan dengan tujuan utama adalah untuk memberikan gred kepada pencapaian murid. Di samping itu, penilaian ini juga dapat digunakan secara menyeluruh dalam memperbaiki sesuatu kurikulum kerana keputusan yang diperoleh lebih menyelu­ruh.

Penilaian Sumatif

Berbeza daripada penilaian formatif yang lebih menumpukan perhatian pada soal menilai tahap penguasaan pelajar dalam satu-satu topik pembelajaran, penilaian sumatif yang bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan digunakan untuk menen­tukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.

Tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu mu­rid secara individu dalam meningkatkan pencapaian. Tujuan penilaian sumatif adalah untuk menentukan sejauh mana objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru semasa pengajaran pembelajaran berlangsung di bilik darjah telah dicapai oleh murid. Dengan berdasarkan objektif yang ditetapkan melalui pembinaan jadual penentuan ujian, peratusan objektif yang dapat dica­pai oleh pelajar dapat diketahui.

Kedua, penilaian sumatif bertujuan memberikan gred kepada murid berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan. Dengan adanya gred yang diberikan, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan anfara individu dalam satu-satu bilik darjah atau membuat perbandingan mengikut tingkatan atau kumpulan pelajar. Dengan cara ini guru boleh membuat kesimpulan peringkat pencapaian pelajar mengikut kumpulan tertentu misalnya kumpulan pelajar lemah, sederhana dan cemerlang. Contoh penilaian sumatif seperti penilaian pada akhir penggal, pe­periksaan percubaan, UPSR, PMR dan sebagainya.

Tujuan Penilaian Formatif

Pada asasnya, penilaian formatif bertujuan untuk memper­baiki pengajaran pembelajaran. Di samping memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, secara langsung penilaian yang dijalankan dapat meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu pelajaran. Hal ini dapat direalisasikan melalui ujian-ujian yang dikendalikan dan dapat memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang wujud sama ada pada penyampaian guru atau penguasaan murid dan seterusnya guru akan membuat pembaikan agar murid dapat mengua­sai dengan lebih baik. Situasi ini akan menolong murid me­nguasai sesuatu unit atau topik pembelajaran dan hal ini memungkinkan mereka memperoleh pencapaian yang lebih baik pada akhir penggal atau semester persekolahan.

Penilaian formatif juga dapat memperbaiki kualiti serta dapat meramal pencapaian pelajar. Menjadi satu kepuasan kepada seseorang guru apabila beliau dapat meningkatkan pencapaian murid dari semasa ke semasa. Dengan mengadakan ujian formatif, guru dapat meninggikan pencapaian dan mengekalkan pencapaian yang memuaskan. Hal ini melalui perbandingan yang boleh dibuat antara pencapaian murid sekarang dengan pencapaian murid lalu melalui rekod ujian formatif yang telah dikendalikan dan mencatatkan masalah yang dihadapi oleh murid dahulu serta langkah penyelesaian yang telah diambil. Dengan cara ini, guru dapat mengekalkan prestasi pelajar dan meramal pencapaian pada akhir penggal persekolahan.

Di samping itu, kegunaan penilaian formatif juga ber-tujuan mengubah suai pengajaran seseorang guru. Hal ini disebabkan pencapaian yang rendah dalam kalangan murid barangkali disebabkan oleh kelemahan pengajaran guru itu sendiri. Pendekatan yang diambil oleh guru berkenaan tidak semestinya sama dalam semua sesi pembelajaran yang dikendalikan. Begitu juga murid yang dihadapinya terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan. Ada yang sederhana, lemah dan cemerlang. Keadaan ini memerlukan pengubahsuaian dalam penyampaian guru agar pembelajaran lebih berkesan. Berasaskan penilaian yang dijalankan guru dapat mengenal pasti aspek atau topik yang menunjukkan kecenderungan murid masih lemah dan topik yang telah dikuasai oleh murid. Selain mengatasi kelemahan dalam pengajaran, guru juga dapat menentukan pendekatan yang lebih baik dalam penyampaian. Misalnya, guru menggunakan pendekatan syarahan dalam menyampaikan pengajaran. Pada akhir topik berkenaan, satu ujian formatif dilakukan dan mendapati kebanyakan murid kurang memahami topik yang diperkatakan. Dengan itu, guru dapat memahami bahawa pendekatan berkenaan tidak sesuai dan beliau boleh mengubah dengan menggunakan pendekatan lain seperti perbincangan dan sebagainya.

Penilaian formatif juga bertujuan untuk memberikan bimbingan pembelajaran kepada murid. Maklumat yang diperoleh daripada siri ujian yang dijalankan dapat digunakan oleh murid untuk mengatasi kelemahan mereka. Mereka bo­leh berbincang dan mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat daripada guru mereka. Dengan cara itu, murid berke­naan dapat mengatasi masalah mereka dan seterusnya meningkatkan penguasaan dari segi pembelajaran. Mereka juga akan menjadi sentiasa bersedia untuk menduduki siri ujian yang dijalankan dan dengan itu memerlukan ketekunan dan tumpuan kepada topik-topik pembelajaran.

Kesimpulannya, penilaian atau ujian formatif merupakan suatu strategi dalam proses pengajaran dan pembela­jaran yang bermanfaat dalam membantu pelajar dan guru. Maklum balas yang diperoleh dapat digunakan oleh guru dan murid serta-merta dalam memperbaiki kelemahan yang wujud. Maklum balas yang diperoleh memberikan motivasi kepada guru untuk terus berusaha dengan gigih bagi memastikan kecemerlangan pelajar. Sementara pada pihak murid pula, ia memberikan harapan tinggi untuk mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Penilaian Formatif

Bagi mencapai matlamat dan objektif yang dirancang, aktiviti penilaian seringkali memberikan maklumat penting kepada guru untuk melaksanakan tindakan seterusnya. Pe­nilaian yang dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki kurikulum dikenali sebagai penilaian formatif. Penilaian ini dijalankan sepanjang masa dan maklumat yang diperoleh daripada penilaian ini digunakan secara terus menerus. Penilaian lazimnya mendatangkan kesan negatif sama ada kepada murid, guru atau ibu bapa sendiri. Hal ini demikian kerana penilaian sering kali menimbulkan ketegangan kepada golongan berkenaan. Oleh itu, pe­nilaian formatif cuba mengurangkan ketegangan tersebut tanpa membandingkan pencapaian antara pelajar.

Pendidik yang berkredibiliti seharusnya memberikan penerangan dan bimbingan kepada murid dan kepada ibu bapa murid akan kegunaan serta tujuan penilaian formatif. Ujian yang dibentuk dalam penilaian ini seharusnya bercorak ujian diagnostik yakni yang dapat memberikan input akan masalah yang dihadapi murid dalam mengikuti pembelajaran. Ujian dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sementara maklumat yang diperoleh hendaklah digunakan serta-merta dalam memperbaiki pe­ngajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama memperoleh manfaat daripadanya. Misalnya, guru dapat mengenal pasti kelemahan penyampaian pengajarannya, manakala murid dapat mengetahui kelemahan aspek tertentu dalam pembelajaran. Dengan itu, penilaian ini bukan sekali-kali bertujuan untuk membandingkan pelajar, sebaliknya ingin membantu murid. Oleh yang demikian, tidak ada gred diberikan kepada penilaian atau ujian yang dijalankan. Contoh penilaian formatif seperti sesi soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah yang tidak ditentukan gred.

Bagi memastikan pelaksanaan penilaian yang berkesan, beberapa langkah atau prosedur perlu diberikan tumpuan atau perhatian oleh guru, iaitu:

1. (i) Menentukan topik pembelajaran

Dalam sesuatu sukatan pelajaran, mengandungi beberapa topik yang seharusnya dihabiskan sepanjang sesi persekolahan untuk satu tahun. Pengajaran topik-topik berkenaan memerlukan masa yang lama untuk menghabiskan semua sukatan berkenaan. Langkah terbaik adalah dengan menyusun topik berkenaan mengikut peringkat kesukaran. Seandainya topik tersebut mempunyai cakupan yang luas, maka penekanan harus diberikan dan mungkin perlu dikecilkan kepada subtopik tertentu. Dengan cara ini guru akan dapat memastikan murid menguasai sesuatu subtopik tertentu terlebih dahulu sebelum meneruskan topik-topik seterusnya. Sebelum beralih kepada topik lain, guru akan mengadakan ujian formatif untuk melihat tahap penguasaan sesuatu topik.

2. (ii)Menyatakan aspek dan tahap pencapaian bagi sesuatu topik pembelajaran.

Guru harus mengenal pasti aspek-aspek tertentu setiap topik yang perlu dikuasai oleh pelajar. Misalnya, pelajar dapat mengenal warna, simbol, membaca dan Iain-lain mengikut keperluan topik berke­naan. Setelah aspek berkenaan ditentukan, maka guru boleh menentukan tahap penguasaan murid dalam bilik darjah terhadap satu-satu topik berkenaan. Dalam hal ini apabila keputusan menunjukkan 80 peratus hingga 90 peratus pelajar telah menunjukkan penguasaan terhadap sesuatu topik, memperlihatkan bahawa kebanyakan pe­lajar sudah menguasai topik berkenaan.

3. (iii)Menghubungkaitkan elemen-elemen yang terdapat da­lam setiap topik.

Guru perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam topik-topik pembelajaran pada peringkat perlakuan tertentu dengan berdasarkan taksonomi pendidikan. Setelah pemeringkatan mengikut tahap perlakuan selesai, guru seterusnya mengaitkan semua elemen berkenaan yang terdapat dalam satu-satu topik agar saling bertautan dan tidak terpisah.

4. (iv)Membentuk soalan ujian.

Selepas penentuan elemen-el­emen berkenaan, misalnya ada 10 elemen dalam sesuatu topik, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar sekurang-kurangnya satu soalan.

5. (v)Mencadangkan langkah susulan.

Tujuan penilaian for­matif dijalankan adalah antara lain untuk mengetahui tahap penguasaan sesuatu topik pembelajaran di samping kesukaran yang dihadapi oleh murid. Dengan itu, tindakan susulan harus dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian yang diperoleh. Misalnya, murid masih menunjukkan kelemahan ketara dalam sesuatu topik, maka tindakan selanjutnya yang harus diambil oleh guru adalah mengulang semula topik berkenaan atau mengubah suai pendekatan penyampaian agar murid boleh menguasai topik tersebut.

Penilaian formatif atau ujian formatif dianggap sebagai suatu strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembe­lajaran. Guru dan murid masing-masing saling memperoleh maklumat akan kelemahan-kelemahan yang wujud semasa pengajaran pembelajaran berlangsung berdasarkan keputus­an ujian yang ditunjukkan. Keadaan seperti ini memberikan motivasi kepada guru dan murid untuk memperbaiki prestasi masing-masing. Guru memperbaiki prestasi penyampaian manakala murid memperbaiki strategi pembelajaran.