BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, January 24, 2011

Tujuan Penilaian Formatif

Pada asasnya, penilaian formatif bertujuan untuk memper­baiki pengajaran pembelajaran. Di samping memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, secara langsung penilaian yang dijalankan dapat meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu pelajaran. Hal ini dapat direalisasikan melalui ujian-ujian yang dikendalikan dan dapat memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang wujud sama ada pada penyampaian guru atau penguasaan murid dan seterusnya guru akan membuat pembaikan agar murid dapat mengua­sai dengan lebih baik. Situasi ini akan menolong murid me­nguasai sesuatu unit atau topik pembelajaran dan hal ini memungkinkan mereka memperoleh pencapaian yang lebih baik pada akhir penggal atau semester persekolahan.

Penilaian formatif juga dapat memperbaiki kualiti serta dapat meramal pencapaian pelajar. Menjadi satu kepuasan kepada seseorang guru apabila beliau dapat meningkatkan pencapaian murid dari semasa ke semasa. Dengan mengadakan ujian formatif, guru dapat meninggikan pencapaian dan mengekalkan pencapaian yang memuaskan. Hal ini melalui perbandingan yang boleh dibuat antara pencapaian murid sekarang dengan pencapaian murid lalu melalui rekod ujian formatif yang telah dikendalikan dan mencatatkan masalah yang dihadapi oleh murid dahulu serta langkah penyelesaian yang telah diambil. Dengan cara ini, guru dapat mengekalkan prestasi pelajar dan meramal pencapaian pada akhir penggal persekolahan.

Di samping itu, kegunaan penilaian formatif juga ber-tujuan mengubah suai pengajaran seseorang guru. Hal ini disebabkan pencapaian yang rendah dalam kalangan murid barangkali disebabkan oleh kelemahan pengajaran guru itu sendiri. Pendekatan yang diambil oleh guru berkenaan tidak semestinya sama dalam semua sesi pembelajaran yang dikendalikan. Begitu juga murid yang dihadapinya terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan. Ada yang sederhana, lemah dan cemerlang. Keadaan ini memerlukan pengubahsuaian dalam penyampaian guru agar pembelajaran lebih berkesan. Berasaskan penilaian yang dijalankan guru dapat mengenal pasti aspek atau topik yang menunjukkan kecenderungan murid masih lemah dan topik yang telah dikuasai oleh murid. Selain mengatasi kelemahan dalam pengajaran, guru juga dapat menentukan pendekatan yang lebih baik dalam penyampaian. Misalnya, guru menggunakan pendekatan syarahan dalam menyampaikan pengajaran. Pada akhir topik berkenaan, satu ujian formatif dilakukan dan mendapati kebanyakan murid kurang memahami topik yang diperkatakan. Dengan itu, guru dapat memahami bahawa pendekatan berkenaan tidak sesuai dan beliau boleh mengubah dengan menggunakan pendekatan lain seperti perbincangan dan sebagainya.

Penilaian formatif juga bertujuan untuk memberikan bimbingan pembelajaran kepada murid. Maklumat yang diperoleh daripada siri ujian yang dijalankan dapat digunakan oleh murid untuk mengatasi kelemahan mereka. Mereka bo­leh berbincang dan mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat daripada guru mereka. Dengan cara itu, murid berke­naan dapat mengatasi masalah mereka dan seterusnya meningkatkan penguasaan dari segi pembelajaran. Mereka juga akan menjadi sentiasa bersedia untuk menduduki siri ujian yang dijalankan dan dengan itu memerlukan ketekunan dan tumpuan kepada topik-topik pembelajaran.

Kesimpulannya, penilaian atau ujian formatif merupakan suatu strategi dalam proses pengajaran dan pembela­jaran yang bermanfaat dalam membantu pelajar dan guru. Maklum balas yang diperoleh dapat digunakan oleh guru dan murid serta-merta dalam memperbaiki kelemahan yang wujud. Maklum balas yang diperoleh memberikan motivasi kepada guru untuk terus berusaha dengan gigih bagi memastikan kecemerlangan pelajar. Sementara pada pihak murid pula, ia memberikan harapan tinggi untuk mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

0 comments: