BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, January 24, 2011

Penilaian Formatif

Bagi mencapai matlamat dan objektif yang dirancang, aktiviti penilaian seringkali memberikan maklumat penting kepada guru untuk melaksanakan tindakan seterusnya. Pe­nilaian yang dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki kurikulum dikenali sebagai penilaian formatif. Penilaian ini dijalankan sepanjang masa dan maklumat yang diperoleh daripada penilaian ini digunakan secara terus menerus. Penilaian lazimnya mendatangkan kesan negatif sama ada kepada murid, guru atau ibu bapa sendiri. Hal ini demikian kerana penilaian sering kali menimbulkan ketegangan kepada golongan berkenaan. Oleh itu, pe­nilaian formatif cuba mengurangkan ketegangan tersebut tanpa membandingkan pencapaian antara pelajar.

Pendidik yang berkredibiliti seharusnya memberikan penerangan dan bimbingan kepada murid dan kepada ibu bapa murid akan kegunaan serta tujuan penilaian formatif. Ujian yang dibentuk dalam penilaian ini seharusnya bercorak ujian diagnostik yakni yang dapat memberikan input akan masalah yang dihadapi murid dalam mengikuti pembelajaran. Ujian dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sementara maklumat yang diperoleh hendaklah digunakan serta-merta dalam memperbaiki pe­ngajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama memperoleh manfaat daripadanya. Misalnya, guru dapat mengenal pasti kelemahan penyampaian pengajarannya, manakala murid dapat mengetahui kelemahan aspek tertentu dalam pembelajaran. Dengan itu, penilaian ini bukan sekali-kali bertujuan untuk membandingkan pelajar, sebaliknya ingin membantu murid. Oleh yang demikian, tidak ada gred diberikan kepada penilaian atau ujian yang dijalankan. Contoh penilaian formatif seperti sesi soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah yang tidak ditentukan gred.

Bagi memastikan pelaksanaan penilaian yang berkesan, beberapa langkah atau prosedur perlu diberikan tumpuan atau perhatian oleh guru, iaitu:

1. (i) Menentukan topik pembelajaran

Dalam sesuatu sukatan pelajaran, mengandungi beberapa topik yang seharusnya dihabiskan sepanjang sesi persekolahan untuk satu tahun. Pengajaran topik-topik berkenaan memerlukan masa yang lama untuk menghabiskan semua sukatan berkenaan. Langkah terbaik adalah dengan menyusun topik berkenaan mengikut peringkat kesukaran. Seandainya topik tersebut mempunyai cakupan yang luas, maka penekanan harus diberikan dan mungkin perlu dikecilkan kepada subtopik tertentu. Dengan cara ini guru akan dapat memastikan murid menguasai sesuatu subtopik tertentu terlebih dahulu sebelum meneruskan topik-topik seterusnya. Sebelum beralih kepada topik lain, guru akan mengadakan ujian formatif untuk melihat tahap penguasaan sesuatu topik.

2. (ii)Menyatakan aspek dan tahap pencapaian bagi sesuatu topik pembelajaran.

Guru harus mengenal pasti aspek-aspek tertentu setiap topik yang perlu dikuasai oleh pelajar. Misalnya, pelajar dapat mengenal warna, simbol, membaca dan Iain-lain mengikut keperluan topik berke­naan. Setelah aspek berkenaan ditentukan, maka guru boleh menentukan tahap penguasaan murid dalam bilik darjah terhadap satu-satu topik berkenaan. Dalam hal ini apabila keputusan menunjukkan 80 peratus hingga 90 peratus pelajar telah menunjukkan penguasaan terhadap sesuatu topik, memperlihatkan bahawa kebanyakan pe­lajar sudah menguasai topik berkenaan.

3. (iii)Menghubungkaitkan elemen-elemen yang terdapat da­lam setiap topik.

Guru perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam topik-topik pembelajaran pada peringkat perlakuan tertentu dengan berdasarkan taksonomi pendidikan. Setelah pemeringkatan mengikut tahap perlakuan selesai, guru seterusnya mengaitkan semua elemen berkenaan yang terdapat dalam satu-satu topik agar saling bertautan dan tidak terpisah.

4. (iv)Membentuk soalan ujian.

Selepas penentuan elemen-el­emen berkenaan, misalnya ada 10 elemen dalam sesuatu topik, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar sekurang-kurangnya satu soalan.

5. (v)Mencadangkan langkah susulan.

Tujuan penilaian for­matif dijalankan adalah antara lain untuk mengetahui tahap penguasaan sesuatu topik pembelajaran di samping kesukaran yang dihadapi oleh murid. Dengan itu, tindakan susulan harus dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian yang diperoleh. Misalnya, murid masih menunjukkan kelemahan ketara dalam sesuatu topik, maka tindakan selanjutnya yang harus diambil oleh guru adalah mengulang semula topik berkenaan atau mengubah suai pendekatan penyampaian agar murid boleh menguasai topik tersebut.

Penilaian formatif atau ujian formatif dianggap sebagai suatu strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembe­lajaran. Guru dan murid masing-masing saling memperoleh maklumat akan kelemahan-kelemahan yang wujud semasa pengajaran pembelajaran berlangsung berdasarkan keputus­an ujian yang ditunjukkan. Keadaan seperti ini memberikan motivasi kepada guru dan murid untuk memperbaiki prestasi masing-masing. Guru memperbaiki prestasi penyampaian manakala murid memperbaiki strategi pembelajaran.

0 comments: