BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 3, 2010

Taksonomi Bloom (Kognitif)

Bidang ini merupakan satu rangka tugas untuk menentukan peringkat atau taraf pelakuan akhir yang hendak dicapai. Bidang ini adalah bidang mengenai pengetahuan seperti mengenai fakta-fakta, perangkaan, teori-teori dan kefahaman. Bidang ini sangat-sangat dititikberatkan di sekolah-sekolah dan hampir semua pengajaran guru berpusat di bidang ini.

Bidang kognitif ini dibahagikan kepada 6 peringkat kemahiran dan biasanya aras kemahiran-kemahiran tersebut dibentangkan dalam bentuk piramid yang melambangkan bahawa kemahiran-kemahiran di atas meliputi kesemua kemahiran yang terdapat di bawahnya.

Penentuan aras-aras kemahiran untuk diuji bergantung kepada mata-mata pelajaran, tajuk-tajuknya dan peringkat pelajar-pelajar. Pada amnya, boleh dikatakan bahawa aras kemahiran pengetahuan dan kefahaman adalah lebih ditekankan pada peringkat sekolah rendah, manakala di sekolah-sekolah menengah penggunaan dan penganalisaan memainkan peranan yang lebih besar. Pada peringkat maktab perguruan, selain daripada aplikasi dan analisis, aras sintesis dan penilaian adalah ditekankan juga. Pada prinsipnya, untuk mencapai dan menguasai kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi, kemahiran asas atau kemahiran sebelumnya perlulah dibina dahulu.


PENGETAHUAN

Peringkat pengetahuan adalah peringkat yang rendah sekali. la meliputi proses mengingat semula perkara-perkara khusus dan umum, mengingati semua kaedah-kaedah dan proses atau mengingat semula pola-pola, struktur atau keadaan yang telah dipelajari dan dialami. Peringkat ini memerlukan pelajar-pelajar mengingat balik perkara-perkara yang telah dipelajari.

Berikut diperlihatkan jenis-jenis pengetahuan yang terangkum dalam aras kemahiran tersebut:

(a) Pengetahuan khusus: Pengetahuan ini berkait dengan simbol-simbol khusus (perkataan dan bukan perkataan).

(b) Pengetahuan tentang fakta khusus: Pengetahuan ini melibatkan pengetahuan tentang tarikh, kejadian, watak, tempat, peristiwa, akibat dan sebagainya.

(c) Pengetahuan tentang konvensyen. Pengetahuan yang berkaitan dengan cara-cara lazim mengendalikan dan mengemukakan idea dan fenomena.

(d) Pengetahuan tentang arah perkembangan dan urutan perkembangan: Pengetahuan ini bersangkut-paut dengan proses, arah dan perkembangan
fenomena dari segi masa.

(e) Pengetahuan tentang pengkelasan dan pembahagian: Pengetahuan berkenaan kelas, set, pembahagian dan penyusunan yang dianggap penting di dalam sesuatu bidang kajian, tujuan, hujah atau masalah.

(f) Pengetahuan tentang kriteria: Pengetahuan ini berkaitan dengan cara bagaimana fakta, prinsip dan perlakuan diuji atau dinilai.

(g) Pengetahuan tentang kaedah: Pengetahuan berkenaan berkait dengan kaedah penyelidikan, teknik dan aturcara yang digunakan dalam sesuatu bidang kajian dan juga yang digunakan dalam merisik sesuatu masalah dan fenomena.




KEFAHAMAN

Kefahaman telah diberi pengertian sebagai kebolehan memberi penghuraian atau makna kepada sesuatu perkara. Kebolehan ini mungkin merupakan kemampuan menukar bentuk sesuatu bahan pembelajaran daripada satu bentuk bertulis kepada bentuk angka, memberi ringkasan atau memberi anggaran untuk masa akan datang mengenai sesuatu perkara. la juga meliputi pengetahuan tentang apa yang dihubungkan dan dapat digunakan bahan atau idea yang dihubungkan itu tanpa mengaitkannya kepada bahan-bahan lain atau melihat implikasi sepenuhnya.

Peringkat kefahaman adalah satu tahap yang tinggi sedikit daripada tahap mengetahui (pengetahuan) tentang sesuatu. Tahap ini adalah peringkat yang paling rendah bagi kefahaman jika dibandingkan dengan jenis pemahaman pada peringkat-peringkat yang lebih tinggi.

Peringkat kefahaman terbahagi kepada tiga:

(a) Peringkat penterjemahan

Kefahaman sedemikian bermaksud kefahaman daripada ketelitian dan ketepatan sesuatu perhubungan itu dirumuskan atau diubah perantaraan perhubungan itu ke dalam perantaraan yang lain.

(b) Peringkat pentafsiran

la berfungsi menerangkan atau meringkaskan sesuatu perhubungan.

(c) Peringkat ekstrapolasi

Kefahaman begini melanjutkan aliran perkembangan atau kecenderungan lebih daripada data yang diberi untuk menentukan implikasinya, akibatnya, kesannya dan sebagainya bersesuaian dengan keadaan yang dihuraikan di dalam perhubungan asal itu.


APLIKASI

Aplikasi bermaksud kebolehan menggunakan perkara-perkara yang telah dipelajari dalam keadaan yang baru dan berlainan. Penggunaan idea-idea ini mungkin di dalam situasi tertentu atau situasi sebenar. Kebolehan ini merupakan kemampuan menggunakan petua-petua, kaedah-kaedah, konsep-konsep, prinsip-prinsip, aturan-aturan dan teori-teori dalam situasi baharu dan yang berlainan daripada yang telah dipelajari. Peringkat ini memerlukan kefahaman yang lebih tinggi dan mendalam.


ANALISIS

Analisis adalah kebolehan memecah-mecahkan perkara-perkara yang telah dipelajari itu kepada bahagian-bahagiannya yang tertentu supaya susunan dan perkaitan bahagian-bahagian tadi senang difahami. Dalam erti kat yang lain, analisis bereerti mencerakin sesuatu perhubungan kepada elemen-elemennya atau bahagian-bahagiannya sehingga susunan idea-idea di dalamnya menjadi jelas dan nyata. Kebolehan yang diperlukan di sini termasuklah kebolehan memecah-mecahkan, menganalisis kaitan di antara pecahan-pecahan dan mengesan susunan prinsip-prinsip pecahan-pecahan yang terlibat. Peringkat analisa ini adalah lebih tinggi daripada peringkat aplikasi dan kefahaman kerana kebolehan menganalisa memerlukan kefahaman isi, aplikasi dan juga penyusunan pecahan-pecahan kepada satu struktur supaya mudah difahami.

Ada tiga jenis analisis yang biasa digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa:

(a) Analisis elemen

Analisis ini adalah mengenai elemen-elemen yang dimasukkan di dalam sesuatu perhubungan.

(b) Analisis berkaitan

Ini melibatkan perkaitan dan interaksi di antara elemen-elemen dengan bahagian-bahagian perhubungan itu.

(c) Analisis organisasi, prinsip

Analisis cara ini menekankan organisasi, susunan bersistem dan struktur yang menyatukan perhubungan itu. Ini meliputi asas, susunan yang perlu dan ciri-ciri yang mewujudkan perhubungan itu sebagai satu unit.


SINTESIS

Sintesis adalah kebolehan menggabungkan pecahan-pecahan kecil kepada satu bahagian yang lebih besar dan yang baharu. Ini bermakna ia menyatukan elemen-elemen atau bahagian-bahagian itu hingga menjadi satu bentuk yang lengkap. Kebolehan ini diperlihatkan dalam karya-karya baharu, rancangan-rancangan penyelidikan dan skim mengatur maklumat. Kebolehan pada peringkat sintesis ini memerlukan tingkah laku yang kreatif untuk membentuk satu corak atau struktur yang terbaharu daripada unsur-uns.ur yang lama.

Tiga jenis sintesis yang harus diketahui ialah seperti berikut:

(a) Penghasilan suatu perhubungan yang unggul

Ini dimaksudkan menghasilkan satu perhubungan di mana seseorang itu cuba menyampaikan idea, perasaan atau pengalamannya kepada seseorang lain.

(b) Penghasilan satu pelan atau mencadangkan satu set tindakan

Sintesis ini bermaksud menghasilkan satu pelan kerja atau mencadangkan satu pelan tindakan.

(c) Penghasilan satu set hubungan mujarad

Ini bermaksud menghasilkan satu set hubungan mujarad sama ada untuk mengkelas atau menerangkan sesuatu data atau fenomena atau menghasilkan satu set cadangan daripada cadangan asas atau daripada simbol-simbol.


PENILAIAN

Penilaian adalah berkenaan dengan kebolehan menghasilkan atau menimbangkan nilai sesuatu bahan sama ada ia berupa kenyataan, pendapat, novel, puisi atau laporan penyelidikan untuk sesuatu tujuan tertentu. Pertimbangan yang dilakukan adalah didasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu seperti organisasi, kegunaan dan kebaikan. Kebolehan menilai adalah peringkat pembelajaran yang tertinggi dalam bidang kognitif kerana pemikiran menilai hanya boleh berlaku sekiranya kebolehan-kebolehan di peringkat bawah yang lain telah sedia diperoleh. Di samping itu, kebolehan memberi pendapat atau pertimbangan berdasarkan kriteria-kriteria tertentu harus juga sedia ada supaya murid-murid dapat membuat penilaian.

Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, guru-guru harus menekankan pengajaran dan pembelajaran pada peringkat-peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat pengetahuan. Dengan cara ini murid-murid harus diberi latihan tugasan dan ujian yang mencerminkan bukan sahaja kebolehan kefahaman,tetapi juga aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian. Kebolehan-kebolehan pada peringkat-peringkat kognitif yang lebih tinggi adalah lebih kekal, lebih bermakna dan lebih member! manfaat. Ringkasan mengajar guru hendaklah menitikberatkan kebolehan-kebolehan yang lebih tinggi dan dengan itu objektif-objektif tingkah laku dalam ringkasan mengajar haruslah jangan dihadkan kepada hal-hal seperti perkara-perkara yang hanya memerlukan kemahiran ingatan kembali. Sebaik-baiknya objektif-objektif tingkah laku dalam ringkasan mengajar itu hendaklah mengutamakan peringkat aplikasi yang membolehkan murid-murid menggunakan perkara yang telah dipelajarinya itu untuk mengatasi masalah atau untuk membentuk pengalaman-pengalaman baharu.

Friday, March 19, 2010

Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu (Kemahiran Menulis)

Definisi

Tulisan ialah lambang-lambang bunyi bahasa yang telah dipindahkan dalam bentuk grafik bagi melahirkan perasaan, fikiran dan idea. Menulis adalah proses memindahkan lambang-lambang bunyi yang tersusun dan teradun bagi melahirkan bunyi-bunyi yang bermakna serta dijadikan alat komunikasi.

Peranan Tulisan

· Untuk mendirikan asas yang kukuh supaya seseorang kanak-kanak itu dapat melahirkan idea, fikiran serta perasaan dengan baik, pantas dan cekap.

· Untuk membolehkan kanak-kanak menyusun huruf-huruf menjadi sukukata,perkataan dan ayat sebagai alat komunikasi dalam kelompok masyarakat.

· Untuk membolehkan kanak-kanak berkemahiran dalam satu lagi komponen bahasa dan meluaskan pengetahuan, perhubungan serta matlamat hidup.

· Untuk menyediakan, menyemai, mengasah serta mengukuhkan minat serta bakat kanak-kanak sebagai memenuhi kehendak masyarakat moden (kerana membaca, menulis dan mengira adalah sebahagian daripada asas utama keperluan hidup masa kini).

· Untuk menghasilkan bentuk-bentuk penulisan kreatif seperti pantun, syair, sajak lain-lain bentuk puisi dan prosa yang dapat memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, perasaan bukan sahaja diri kanak-kanak itu sendiri, bahkan juga seluruh insan umumnya.


Peringkat-peringkat Kemahiran Menulis

Pra Tulisan

Pra tulisan merupakan satu peringkat yang perlu dilalui oleh kanak-kanak bagi menyediakan diri ke arah melahirkan lambang-lambang bunyi khusus yang diterima oleh kelompok masyarakat.

Pada peringkat awal kanak-kanak membuat contengan di atas permukaan benda-benda yang sedia ada dalam persekitaran mereka dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh meninggalkan kesan ke atas permukaan benda tersebut.

Peringkat contengan ini perkembangan dari membuat contengan bebas hingga ke peringkat contengan terkawal. Peringkat pra tulisan ini adalah bagi kanak-kanak mendapatkan latihan otot, tangan,jari serta kordinasi mata tangan. Peringkat pra tulisan perlu menitikberatkan perkara-perkara berikut:

· Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan dan jari melalui aktiviti seperti menggunting, mengoyak, menganyam, menampal, menguli tepung dan lain-lain.

· Menguasai gerak tangan bebas, cara memegang alat tulis, cara duduk dan sebagainya supaya boleh menulis dengan sempurna dan selesa.

· Melakukan latihan-latihan pergerakan mata dari kiri ke kanan, dari atas ke bawah dan lain-lain.

· Melakukan latihan-latihan keselarasan (koordinasi) mata dan tangan.

Tulisan Mekanis

Setelah kanak-kanak melalui proses pra tulisan , sepatutnya mereka telah faham dan boleh memegang pensel serta cara duduk yang betul dan selesa . Tulisan mekanis merupakan peringkat kedua yang patut didedahkan kepada murid-murid. Sebagai permulaan untuk memberi kemahiran dalam penulisan mekanis murid-murid diminta membentuk huruf-huruf pada permukaan kertas kosong tanpa garisan. Setelah kemajuannya didapati memuaskan barulah latihan membentuk huruf diberikan. Bermula dengan ruang garisan yang lebar / luas membawa kepada lembaran bergaris kecil /sempit.


Latihan-latihan tulisan mekanis diharapkan murid-murid akan dapat :

· Kemahiran mengawal dan memegang pensel.

· Meneliti, mengenal, menyalin bentuk-bentuk huruf mengikut urutan.

· Mendapat kesedaran tentang perkaitan bunyi dengan tulisan.

Tulisan Kreatif

Peringkat ini merupakan peringkat tertinggi dalam proses menulis. Di peringkat
ini kanak-kanak diharapkan dapat menggunakan kemahiran yang diperolehi di peringkat mekanis untuk menggunakan daya kreatif untuk :

· Membina ayat.

· Mengarang cerita.

· Mengarang pantun, sajak, teka-teki dll.

· Menulis surat kiriman.

· Lain-lain yang berkaitan.


Masalah Tulisan dalam kanangan Kanak-kanak

· Perkataan ditulis terlalu rapat di antara satu dengan lain.

· Bentuk-bentuk huruf ditulis terlalu condong.

· Tiada keseragaman jarak di antara huruf dengan huruf atau di antara perkataan dengan perkataan

· Bentuk-bentuk huruf yang tidak jelas / tepat / betul.

· Menulis tanpa mengikut garisan-garisan yang ditentukan,

· Mencampur adukkan huruf besar dengan huruf kecil.

· Masalah pembalikan huruf atau perkataan.

· Huruf-huruf tidak ditulis mengikut posisi (kedudukan ) yang sepatutnya.

· Menulis dengan meninggalkan huruf, perkataan atau imbuhan.

· Menulis melampaui garisan ruang muka surat yang ditentukan.

· Menulis huruf-huruf di dalam perkataan secara bertindih.

· Mengulang garis-garis huruf yang ditulis.

· Menulis mengikut arah dari kanan ke kiri.

· Menulis huruf atau perkataan mengikut urutan yang salah.

· Menulis atau menyalin ayat tanpa mengikut tertib yang betul.


Cara-cara mengatasi masalah tulisan

· Memberi latihan dan pengukuhan yang secukupnya dalam peringkat-peringkat permulaan dan mendirikan asas.

· Memberikan penerangan, tunjuk cara serta contoh-contoh yang jelas dan betul, sesuai dengan tahap keupayaan murid secara individu supaya dapat diikuti dengan mudah.

· Guru adalah model atau contoh yang menjadi ikutan murid-murid. Tulisan dan cara- cara guru menulis contoh yang akan disalin oleh murid-murid hendaklah dibuat dengan teliti dan betul.

· Kad-kad tulisan dan lembaran-lembaran kerja bertulis perlulah disediakan dengan sempurna.

· Seberapa boleh banyakkan latihan dan berikan bantuan individu.

Pertimbangan harus dibuat bagi menentukan ketika sesuai seseorang kanak-kanak itu tidak digalakkan lagi untuk menggunakan getah pemadam.

Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu (Kemahiran Membaca)

Definisi

Membaca adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran. Bacaan juga merupakan sebagai punca utama kegagalan kanak-kanak di sekolah. Malah dikatakan juga bahawa kegagalan membaca akan membawa kepada perlakuan salah laku, cemas, kurang motivasi, dan perasaan rendah diri (Mercer, 1992). Membaca adalah kemahiran yang kompleks dan banyak definisi diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan. Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses asas, iaitu ”nyah kod” (decode) dan pemahaman. Proses nyah kod melibatkan pemahaman tentang hubungan antara huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama dengan bahasa lisan. Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan seseorang menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Manakala poroses pemahaman pula membolehkan seseorang memahami makna sesuatu perkataan atau makna perkataan mengikut konteks.

Terdapat banyak definisi yang diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan. Harris dan Sipay (1980) menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis. Manakala Kenedy (1981) pula mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsirkan maksudnya (Marohaini Yusoff, 1999). Dua definisi yang diberikan ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa kemahiran membaca adalah satu proses yang kompleks.

Berdasarkan definisi-definisi membaca yang ditelitinya, Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan proses membaca seperti berikut:

1. Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca.

2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman
selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya,
untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat
menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna
perkataan-perkataan yang dibacanya.

3. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca.

Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti berikut:

· mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.

· mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.

· menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.

· mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan,dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang kengkap.

· mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif. Berdasarkan definisi membaca dan rumusan yang dibuat berkaitan dengan proses membaca, dapatlah dimengerti bahawa membaca adalah kemahiran yang kompleks yang melibatkan beberapa kemahiran lain.

Proses Membaca

Daripada definisi-definisi yang telah dibincangkan, ternyata bahawa membaca adalah proses yang kompleks yang yang terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan), proses pengamatan, proses bahasa (linguistik), dan proses kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses membaca secara keseluruhan.

1. Membaca sebagai proses sensori (kederiaan)

Deria atau panca indera adalah pintu masuk berbagai rangsangan ke otak untuk diproses. Dua deria yang terlibat secara aktif dalam proses membaca adalah penglihatan dan pendengaran. Kedua-dua deria ini berhubung rapat antara satu sama lain dalam proses membaca.

Deria penglihatan

Proses membaca berlaku apabila lambang-lambang dilihat dan disalurkan ke otak untuk diproses bagi mendapat makna sebenar. Bagi individu yang bermasalah penglihatan (buta) deria penglihatan akan digantikan dengan deria sentuhan.

Deria pendengaran

Seseorang memerlukan pendengaran yang baik untuk membolehkannya membaca dengan baik. Seseorang perlu mendengar dengan baik mesej yang diterima supaya ia dapat menghasilkan semula mesej itu dengan jelas dan tepat. Keadaan ini tidak berlaku kepada individu yang mengalami masalah pendengatan


2. Membaca sebagai proses pengamatan

Pengamatan adalah satu proses menimbulkan makna kepada tugas-tugas panca indera berdasarkan pengalaman lalu dan pengamatan ini berhubung rapat dengan pemikiran. Dalam bacaan, pengamatan membolehkan seseorang mengenal dengan tepat lambang-lambang dan mengaitkannya dengan bunyi-bunyi dan juga makna. Pengamatan dalam bacaan adalah seperti:

· mendiskriminasi iaitu mengecam dan juga membezakan

· “figure ground” iaitu mengenal objek-objek, bentuk, atau corak-corak

· ingatan, iaitu mengingat kembali apa yang dilihat atau didengar,

· turutan, iaitu seperti memahami giliran dan urutan.

3. Membaca sebagai satu proses bahasa

Bacaan adalah sebagaian daripada kemahiran bahasa (language arts) iaitu yang bermula daripada mendengar, bertutur, membaca, dan seterusnya menulis. Membaca dapat membantu manusia berkomunikasi dan berhubung sesama mereka melalui sistem lambang-lambang tulisan yang mereka cipta.

4. Membaca adalah satu proses kognitif

Membaca bukan hanya melibatkan proses mekanis tetapi juga melibatkan proses kognitif atau berfikir pada semua peringkat membaca seperti mengecam, mendiskriminasi, dan memaham. Oleh itu kecerdasan seseorang akan mempengaruhi kemajuannya dalam membaca.


Faktor-faktor yang Berkaitan Dengan Membaca

Kesediaan Membaca

Kesediaan adalah faktor penting sebelum seseorang kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran. Seorang kanak-kanak tidak boleh terus berjalan sekiranya otot-otot anggota kakinya cukup kuat untuk berdiri dan seterusnya berjalan. Oleh itu bagi menyediakan kanak-kanak berjalan, dia akan memulakan dengan merangkak, duduk, bangun, berdiri, bertatih, dan barulah berjalan. Begitu juga dengan membaca, seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan perkembangan yang diperlukan terlebih dahulu sebelum kemahiran membaca diperkenalkan diajar kepadanya.

Kebolehan membaca kanak-kanak wujud sekiranya kanak-kanak itu memahami dan bertindak secara bersesuaian apabila melihat perkataan-perkataan yang ditulis. Maksudnya kanak-kanak mesti berkeupayaan memahami konsep iaitu;

· semua “benda” mempunyai nama,

· nama benda boleh ditulis dalam perkataan,

· kedua-duanya saling bertukar,

· simbol-simbol perkataan boleh dibaca (Mechado, 1985).

Kanak-kanak boleh cepat membaca sekiranya mereka hidup dalam persekitaran yang intelektual yang sentiasa berfaedah dengan tulisan seperti buku, surat khabar, dan sebagainya, kanak-kanak yang kaya dengan pengalaman persekitaran seperti ke pasar raya, ke pameran atau ke pusat-pusat peranginan, dan juga kanak-kanak mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi dengan orang lain.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca kanak-kanak adalah:

· keadaan fizikal

· pengalaman dan persekitaran

· emosi, motivasi, dan sahsiah

· kecerdasan

· pengamatan

· penguasaan bahasa

Keadaan fizikal merujuk kepada keadaan mata, telinga, dan organ pertuturan yang sempurna. Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman-pengalaman bermakna akan dapat merangsang otak dan menimbulkan minat membaca. misalnya mendengar cerita, lawatan ke perpustakaan atau ke kedai buku, ibu bapa yang kerap berbual dengan anak mereka, dan sebagainya.

Keadaan rumah tangga yang dan cara asuhan akan mempengaruhi perkembangan emosi, motivasi, dan sahsiah kanak-kanak. Dorongan yang diberikan oleh ibu bapa boleh mempengaruhi sikap membaca kanak-kanak.

Kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak sangat mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak. Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Kemahiran membaca memerlukan keupayaan pengamatan yang kuat, iaitu daya diskriminasi penglihatan dan diskriminasi pendengaran. Semasa membaca kanak-kanak perlu mendiskriminasi huruf dan juga mendiskriminasi bunyi-bunyi huruf.

Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak ,dan sebagainya semasa berkomunikasi.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan juga guru untuk memastikan kanak-kanak sudah mempunyai kesediaan membaca yang mencukupi sebelum mula mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kebolehan Membaca

Kemahiran membaca adalah satu proses kognitif yang kompleks. Oleh itu faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca juga adalah rumit dan saling mempengaruhi. Kesedaran tentang faktor-faktor yang mempengaruhi bacaan ini akan dapat membantu guru merancang pengajaran bacaan untuk murid-muridnya. Menurut Marohaini Yusoff (1999) faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi kepada dua kategori besar, iaitu:

i. faktor yang ada pada diri murid atau pembaca

ii. faktor yang ada pada bahan bacaan.


Peringkat-peringkat Mengajar Bacaan

Pengajaran bacaan yang dijalankan boleh guru bahasa tertumpu kepada dua kemahiran iaitu bacaan secara kuat (bacaan mekanis) dan bacaan secara senyap (bacaan mentalis/akaliah). Kemahiran membaca kuat lebih menumpukan kepada kemahiran sebutan, intonasi, dan gaya membaca (membaca berita). Manakala bacaan senyap merupakan kemahiran membaca untuk memaham dan juga kepantasan membaca petikan sesuatu bahan.

Mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat supaya mereka dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. Kamarudin Hj. Husin (1988) membahagikan pengajaran bacaan kepada lima peringkat:

i. peringkat menyediakan murid

ii. peringkat mendirikan asas

iii. peringkat melatih membaca dan memaham

iv. peringkat melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat

v. peringkat membina dan mengukuhkan sikap gemar membaca.


Apabila kanak-kanak memasuki tahun satu persekolahan, guru perlu menyiasat terlebih dahulu tahap kesediaan murid terutamanya penguasaan bahasa dan juga emosi murid. Pengetahuan guru tentang tahap kesediaan membaca murid dan juga kemahiran sedia ada murid akan dapat membantu guru untuk menyediakan murid bagi pelajaran membaca.

Peringkat mendirikan asas bacaan sangat penting dalam pengajaran kemahiran membaca kepada murid-murid. Pada peringkat ini guru perlu menggunakan pelbagai alat bantu mengajar dan juga bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang digunakan hendaklah ringkas, menarik, dan bermakna. Kemahiran asas bacaan bermula dengan mengenal abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan seterusnya ayat. Pada peringkat ini juga galakan dan dorongan perlu diberikan kepada murid secara berterusan.

Peringkat seterusnya adalah melatih membaca dan memaham. Pada peringkat ini bahan bacaan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik. Selain menekankan aspek sebutan dan kelancaran, guru juga mula menekankan aspek pemahaman. Kebiasaan murid membaca nyaring boleh dikurangkan kepada bacaan senyap secara beransur-ansur. Soalan-soalan guru berkaitan bahan yang dibaca akan membantu murid membina kemahiran memahami.

Setelah kanak-kanak sudah boleh membaca dengan lancar dan seterusnya memahami isi bahan yang dibaca, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memilih bahan bacaan lain untuk mencari maklumat dan juga untuk mengisi masa lapang. Guru boleh membantu kanak-kanak dengan mengajar mereka kemahiran mencari maklumat di pusat sumber dan juga internet.

Akhir sekali adalah peringkat membina sikap suka membaca. Sikap suka membaca hendaklah dipupuk di peringkat sekolah lagi supaya sebati dengan jiwa kanak-kanak. Kebiasaannya sekolah kerap mengadakan pertandingan membaca, pameran buku, peraduan mengarang, dan sebagainya.


Pemulihan Bacaan

1. Menguji Kemahiran Membaca

Membaca adalah salah satu kemahiran bahasa yang penting dikuasai oleh kanak-kanak supaya mereka dapat mencapai kemajuan dalam pelajaran dan juga kualiti kehidupan mereka. Sebab itulah sekiranya seorang murid gagal membaca dengan baik selalunya dikaitkan dengan kegagalan pengajaran guru dan juga pendidikan di sekolah berkenaan. Sebab itu guru perlu didedahkan kepada alat, kaedah dan teknik menguji kemahiran bacaan terutamanya ujian bacaan secara diagnostik. Ujian diagnostik bacaan akan dapat membantu guru mengesan kesukaran-kesukaran khusus bacaan murid.

Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan secara objektif kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh murid dalam proses membaca. Bermula dari sinilah guru akan dapat merancang aktiviti-aktiviti pengajaran pemulihan bacaan. Murid yang bermasalah dalam bacaan tidak boleh dibiarkan berterusan dengan masalah membacanya kerana akan memberi kesan terhadap pencapaiannya dalam pelajaran secara keseluruhan.

Ujian bacaan hendaklah dijalankan secara berterusan supaya maklumat yang diperolehi dapat memberi gambaran sebenar kelemahan murid. Masalah bacaan sebenar murid penting supaya guru dapat menilai semula rancangan pemulihan bacaan dan boleh membantu guru menentukan objektif pengajaran bacaan seterusnya. Kaedah dan teknik mengajar membaca perlu dipelbagaikan bagi mengelak kebosanan.

2. Ujian Bacaan Nyaring

Terdapat berbagai-bagai jenis ujian bacaan yang boleh dilaksanakan guru kepada murid-muridnya. Namun begitu ujian bacaan nyaring merupakan langkah pertama untuk mengesan kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara diagnostik. Berdasarkan kajian-kajian lepas, Abdul Aziz Talib (1989) telah menyenaraikan kesukaran-kesukaran dalam kawasan-kawasan yang perlu ditubuhkan dalam sesebuah ujian bacaan:

A. Peringkat huruf (abjad)

· Huruf kecil (a-z)

- mengenal bentuk huruf

- mengenal nama huruf

- mengenal bunyi huruf

· Huruf besar (A-Z)

- mengenal bentuk huruf

- mengenal nama huruf

- mengenal bunyi huruf

- memadan huruf besar-huruf kecil

· Diskriminasi penglihatan

- huruf-huruf yang berdekatan bentuk

- huruf besar dalam perkataan

- huruf-huruf kecil dalam perkataan

· Diskriminasi pendengaran huruf-huruf yang berdekatan bunyi foniknya

· Pembalikan huruf (reversals)

- huruf besar

- huruf kecil

B. Peringkat Perkataan

· membatang suku kata terbuka

· membatang suku kata tertutup

· membatang suku kata yang mempunyai gugusan konsonan

C.Peringkat Perkataan

· pembalikan perkataan

· membezakan bunyi fonem /e/ dan /a/ dalam perkataan

· membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata terbuka dalam
perkataan

· Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata tertutup dalam
perkataan

· Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata yang
mengandungi gugusan konsonan dalam perkataan

· Kekeliruan antara ejaan dan sistem bunyi Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris dalam perkataan

· Menyebut perkataan dasar dan perkataan berimbuhan

D. Peringkat Frasa

· Membaca frasa-frasa sebagai satu unit makna/pemikiran.

E. Peringkat Ayat

· Membaca ayat-ayat pendek

· membaca ayat-ayat panjang

Daerah-daerah kesukaran yang disenaraikan di atas hendaklah diuji melalui item-item soalan yang dibina oleh guru yang dibina secara berasingan. Guru boleh menggunakan kad-kad ujian bagi setiap daerah kesukaran yang hendak diuji dan tidak perlu dijalankan serentak bagi kesemua tajuk.

Dalam ujian bacaan nyaring, murid diminta membaca petikan dengan kuat dan guru merekod kesalahan –kesalahan yang dilakukan murid. Abdul Aziz Talib (1989) menyenaraikan jenis kesilapan yang perlu direkod seperti berikut:

· membuang/meninggalkan (omission) – bunyi huruf/perkataan /imbuhan yang ditinggalkan

· Ulangan (repetition) - mengulang-ulang perkataan/suku kata

· Gantian (substitute) - bunyi huruf/perkataan diubahgantikan

· Tambahan (insertion) – bunyi huruf/imbuhan/perkataan ditambah

· Pembalikan (reversals) - huruf/perkataan/frasa dibaca secara terbalik/songsang.

Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya. Selain itu, guru juga perlu merekodkan masalah-masalah atau tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca, iaitu:

· membatang suku kata terlebih dahulu

· bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan

· membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan

· membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak

· tidak boleh membaca langsung

Maklumat lain yang perlu direkodkan guru adalah sekiranya murid mempunyai kecacatan yang boleh menjejas bacaannya seperti gagap, sengau, pelat, telor, masalah penglihatan, dan masalah pendengaran.



Prinsip-prinsip pengajaran Pemulihan Bacaan

Segala maklumat yang guru perolehi membolehkannnya merancang rancangan pengajaran pemulihan bacaan untuk muridnya. Margaret et.al., 1989) telah menyarankan beberapa prinsip pengajaran pemulihan bacaan yang boleh dijadikan pegangan oleh guru dalam membantu muridnya membaca.

Guru haruslah memulakan pengajaran pada tahap yang sesuai. Keputusan ujian diagnostik bacaan dapat membantu guru mengenal pasti daerah kelemahan dan tahap bacaan murid.

Murid perlu diberi tangungjawab terhadap pembelajaran mereka. Murid akan dapat belajar dengan lebih baik sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Gunakan bacaan nyaring dan bacaan senyap mengikut kesesuaian. Gunakan setiap jenis bacaan ini mengikut keperluan murid. Bacaan senyap sangat berkesan untuk mengajar murid mengawal proses bacaan mereka sendiri. Manakala bacaan nyaring pula sangat berkesan untuk meningkatkan kemahiran sebutan dan kelancaran bacaan.

Komponen Pengajaran Pemulihan Bacaan

Sepanjang sesi pengajaran bacaan guru disarankan mengikut langkah-langkah pengajaran yang meliputi komponen-komponen bacaan berikut:

Bacaan peringkat pengajaran bermaksud murid membaca bahan bacaan mengikut tahap pembelajaran mereka. Di sini mereka akan menjumpai perkataan-perkataan baru dan juga konsep-konsep baru di bawah bimbingan guru yang akan membantu menyelesaikan masalah dan juga membantu mereka menguasai bahan bacaan dengan baik.

Pengajaran berfokus dilaksanakan bergantung kepada keperluan murid. Guru mungkin akan memperuntukkan sedikit masa untuk membantiu murid tertentu membaca dengan memberi fokus kepada aspek tertentu dalam bacaan. Cara ini akan membantu murid memfokus kepada aspek bacaan yang mereka hadapi kesukaran.

Menyemak atau meneliti semula dilakukan untuk membantu murid untuk mengingat semula perkara yang telah dipelajarinya. Sedikit masa yang diperuntukkan digunakan untuk mengingat semula seperti makna perkataan dan bahan bacaan yang telah dipelajari sebelum itu.

Bacaan bebas adalah untuk membentuk sikap membaca yang kekal, iaitu murid mendapati membaca dapat memberi maklumat, dan menyeronokkan. Pada peringkat ini murid digalakkan memilih bahan bacaan mereka mengikut tahap bacaan bebas mereka iaitu dapat membaca sendiri tanpa bimbingan guru.


Kesimpulan

Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain lagi. Guru memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak kemahiran membaca. Oleh itu guru perlu nmenggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik. Ujian-ujian pemahaman bacaan perlu dijalankan secara berterusan bagi mengetahui dan mamantau pencapaian murid dalam bacaan.