BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 3, 2010

Taksonomi Bloom (Kognitif)

Bidang ini merupakan satu rangka tugas untuk menentukan peringkat atau taraf pelakuan akhir yang hendak dicapai. Bidang ini adalah bidang mengenai pengetahuan seperti mengenai fakta-fakta, perangkaan, teori-teori dan kefahaman. Bidang ini sangat-sangat dititikberatkan di sekolah-sekolah dan hampir semua pengajaran guru berpusat di bidang ini.

Bidang kognitif ini dibahagikan kepada 6 peringkat kemahiran dan biasanya aras kemahiran-kemahiran tersebut dibentangkan dalam bentuk piramid yang melambangkan bahawa kemahiran-kemahiran di atas meliputi kesemua kemahiran yang terdapat di bawahnya.

Penentuan aras-aras kemahiran untuk diuji bergantung kepada mata-mata pelajaran, tajuk-tajuknya dan peringkat pelajar-pelajar. Pada amnya, boleh dikatakan bahawa aras kemahiran pengetahuan dan kefahaman adalah lebih ditekankan pada peringkat sekolah rendah, manakala di sekolah-sekolah menengah penggunaan dan penganalisaan memainkan peranan yang lebih besar. Pada peringkat maktab perguruan, selain daripada aplikasi dan analisis, aras sintesis dan penilaian adalah ditekankan juga. Pada prinsipnya, untuk mencapai dan menguasai kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi, kemahiran asas atau kemahiran sebelumnya perlulah dibina dahulu.


PENGETAHUAN

Peringkat pengetahuan adalah peringkat yang rendah sekali. la meliputi proses mengingat semula perkara-perkara khusus dan umum, mengingati semua kaedah-kaedah dan proses atau mengingat semula pola-pola, struktur atau keadaan yang telah dipelajari dan dialami. Peringkat ini memerlukan pelajar-pelajar mengingat balik perkara-perkara yang telah dipelajari.

Berikut diperlihatkan jenis-jenis pengetahuan yang terangkum dalam aras kemahiran tersebut:

(a) Pengetahuan khusus: Pengetahuan ini berkait dengan simbol-simbol khusus (perkataan dan bukan perkataan).

(b) Pengetahuan tentang fakta khusus: Pengetahuan ini melibatkan pengetahuan tentang tarikh, kejadian, watak, tempat, peristiwa, akibat dan sebagainya.

(c) Pengetahuan tentang konvensyen. Pengetahuan yang berkaitan dengan cara-cara lazim mengendalikan dan mengemukakan idea dan fenomena.

(d) Pengetahuan tentang arah perkembangan dan urutan perkembangan: Pengetahuan ini bersangkut-paut dengan proses, arah dan perkembangan
fenomena dari segi masa.

(e) Pengetahuan tentang pengkelasan dan pembahagian: Pengetahuan berkenaan kelas, set, pembahagian dan penyusunan yang dianggap penting di dalam sesuatu bidang kajian, tujuan, hujah atau masalah.

(f) Pengetahuan tentang kriteria: Pengetahuan ini berkaitan dengan cara bagaimana fakta, prinsip dan perlakuan diuji atau dinilai.

(g) Pengetahuan tentang kaedah: Pengetahuan berkenaan berkait dengan kaedah penyelidikan, teknik dan aturcara yang digunakan dalam sesuatu bidang kajian dan juga yang digunakan dalam merisik sesuatu masalah dan fenomena.




KEFAHAMAN

Kefahaman telah diberi pengertian sebagai kebolehan memberi penghuraian atau makna kepada sesuatu perkara. Kebolehan ini mungkin merupakan kemampuan menukar bentuk sesuatu bahan pembelajaran daripada satu bentuk bertulis kepada bentuk angka, memberi ringkasan atau memberi anggaran untuk masa akan datang mengenai sesuatu perkara. la juga meliputi pengetahuan tentang apa yang dihubungkan dan dapat digunakan bahan atau idea yang dihubungkan itu tanpa mengaitkannya kepada bahan-bahan lain atau melihat implikasi sepenuhnya.

Peringkat kefahaman adalah satu tahap yang tinggi sedikit daripada tahap mengetahui (pengetahuan) tentang sesuatu. Tahap ini adalah peringkat yang paling rendah bagi kefahaman jika dibandingkan dengan jenis pemahaman pada peringkat-peringkat yang lebih tinggi.

Peringkat kefahaman terbahagi kepada tiga:

(a) Peringkat penterjemahan

Kefahaman sedemikian bermaksud kefahaman daripada ketelitian dan ketepatan sesuatu perhubungan itu dirumuskan atau diubah perantaraan perhubungan itu ke dalam perantaraan yang lain.

(b) Peringkat pentafsiran

la berfungsi menerangkan atau meringkaskan sesuatu perhubungan.

(c) Peringkat ekstrapolasi

Kefahaman begini melanjutkan aliran perkembangan atau kecenderungan lebih daripada data yang diberi untuk menentukan implikasinya, akibatnya, kesannya dan sebagainya bersesuaian dengan keadaan yang dihuraikan di dalam perhubungan asal itu.


APLIKASI

Aplikasi bermaksud kebolehan menggunakan perkara-perkara yang telah dipelajari dalam keadaan yang baru dan berlainan. Penggunaan idea-idea ini mungkin di dalam situasi tertentu atau situasi sebenar. Kebolehan ini merupakan kemampuan menggunakan petua-petua, kaedah-kaedah, konsep-konsep, prinsip-prinsip, aturan-aturan dan teori-teori dalam situasi baharu dan yang berlainan daripada yang telah dipelajari. Peringkat ini memerlukan kefahaman yang lebih tinggi dan mendalam.


ANALISIS

Analisis adalah kebolehan memecah-mecahkan perkara-perkara yang telah dipelajari itu kepada bahagian-bahagiannya yang tertentu supaya susunan dan perkaitan bahagian-bahagian tadi senang difahami. Dalam erti kat yang lain, analisis bereerti mencerakin sesuatu perhubungan kepada elemen-elemennya atau bahagian-bahagiannya sehingga susunan idea-idea di dalamnya menjadi jelas dan nyata. Kebolehan yang diperlukan di sini termasuklah kebolehan memecah-mecahkan, menganalisis kaitan di antara pecahan-pecahan dan mengesan susunan prinsip-prinsip pecahan-pecahan yang terlibat. Peringkat analisa ini adalah lebih tinggi daripada peringkat aplikasi dan kefahaman kerana kebolehan menganalisa memerlukan kefahaman isi, aplikasi dan juga penyusunan pecahan-pecahan kepada satu struktur supaya mudah difahami.

Ada tiga jenis analisis yang biasa digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa:

(a) Analisis elemen

Analisis ini adalah mengenai elemen-elemen yang dimasukkan di dalam sesuatu perhubungan.

(b) Analisis berkaitan

Ini melibatkan perkaitan dan interaksi di antara elemen-elemen dengan bahagian-bahagian perhubungan itu.

(c) Analisis organisasi, prinsip

Analisis cara ini menekankan organisasi, susunan bersistem dan struktur yang menyatukan perhubungan itu. Ini meliputi asas, susunan yang perlu dan ciri-ciri yang mewujudkan perhubungan itu sebagai satu unit.


SINTESIS

Sintesis adalah kebolehan menggabungkan pecahan-pecahan kecil kepada satu bahagian yang lebih besar dan yang baharu. Ini bermakna ia menyatukan elemen-elemen atau bahagian-bahagian itu hingga menjadi satu bentuk yang lengkap. Kebolehan ini diperlihatkan dalam karya-karya baharu, rancangan-rancangan penyelidikan dan skim mengatur maklumat. Kebolehan pada peringkat sintesis ini memerlukan tingkah laku yang kreatif untuk membentuk satu corak atau struktur yang terbaharu daripada unsur-uns.ur yang lama.

Tiga jenis sintesis yang harus diketahui ialah seperti berikut:

(a) Penghasilan suatu perhubungan yang unggul

Ini dimaksudkan menghasilkan satu perhubungan di mana seseorang itu cuba menyampaikan idea, perasaan atau pengalamannya kepada seseorang lain.

(b) Penghasilan satu pelan atau mencadangkan satu set tindakan

Sintesis ini bermaksud menghasilkan satu pelan kerja atau mencadangkan satu pelan tindakan.

(c) Penghasilan satu set hubungan mujarad

Ini bermaksud menghasilkan satu set hubungan mujarad sama ada untuk mengkelas atau menerangkan sesuatu data atau fenomena atau menghasilkan satu set cadangan daripada cadangan asas atau daripada simbol-simbol.


PENILAIAN

Penilaian adalah berkenaan dengan kebolehan menghasilkan atau menimbangkan nilai sesuatu bahan sama ada ia berupa kenyataan, pendapat, novel, puisi atau laporan penyelidikan untuk sesuatu tujuan tertentu. Pertimbangan yang dilakukan adalah didasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu seperti organisasi, kegunaan dan kebaikan. Kebolehan menilai adalah peringkat pembelajaran yang tertinggi dalam bidang kognitif kerana pemikiran menilai hanya boleh berlaku sekiranya kebolehan-kebolehan di peringkat bawah yang lain telah sedia diperoleh. Di samping itu, kebolehan memberi pendapat atau pertimbangan berdasarkan kriteria-kriteria tertentu harus juga sedia ada supaya murid-murid dapat membuat penilaian.

Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, guru-guru harus menekankan pengajaran dan pembelajaran pada peringkat-peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat pengetahuan. Dengan cara ini murid-murid harus diberi latihan tugasan dan ujian yang mencerminkan bukan sahaja kebolehan kefahaman,tetapi juga aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian. Kebolehan-kebolehan pada peringkat-peringkat kognitif yang lebih tinggi adalah lebih kekal, lebih bermakna dan lebih member! manfaat. Ringkasan mengajar guru hendaklah menitikberatkan kebolehan-kebolehan yang lebih tinggi dan dengan itu objektif-objektif tingkah laku dalam ringkasan mengajar haruslah jangan dihadkan kepada hal-hal seperti perkara-perkara yang hanya memerlukan kemahiran ingatan kembali. Sebaik-baiknya objektif-objektif tingkah laku dalam ringkasan mengajar itu hendaklah mengutamakan peringkat aplikasi yang membolehkan murid-murid menggunakan perkara yang telah dipelajarinya itu untuk mengatasi masalah atau untuk membentuk pengalaman-pengalaman baharu.