BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 16, 2010

Perkembangan Sistem Pendidikan di Malaysia

Negara Malaysia mempunyai sejarah pembentukan negara bangsa yang amat panjang dalam mengorak langkah mencapai kemerdekaan. Selari dengan proses tersebut, pendidikan juga telah berkembang seiring dengan zaman. Maka, dapatlah disimpulkan bahawa sistem pendidikan di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan sistem pendidikan semasa. Perkembangan sistem pendidikan sebelum merdeka terbahagi kepada empat peringkat iaitu sebelum kedatangan British, tempoh penjajahan pertama, tempoh penjajahan kedua dan awal kemerdekaan, iaitu sebelum pembentukan gagasan Malaysia. Perkembangan sistem pendidikan selepas merdeka terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap pertama(1963-1965), tahap kedua(1966-1970) dan tahap ketiga(1971-1975). Perkembangan sistem pendidikan semasa pula berlaku selepas tempoh 1975.

PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN SEBELUM MERDEKA

Pada peringkat pertama sistem pendidikan sebelum merdeka iaitu sebelum kedatangan British pendidikan pada umumnya merupakan pendidikan yang tidak menekankan soal formal. Penekanan hanyalah kepada pengajaran kitab suci Al-Quran, tingkah laku dan akhlak yang baik, pengetahuan dan juga sifat kerohanian.

Terdapat juga sebilangan pelajar yang mempelajari pendidikan agama di sekolah-sekolah pondok yang ditubuhkan oleh para ulama Islam yang terkenal pada zaman tersebut. Sekolah-sekolah jenis ini masih boleh dilihat sekarang di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada amnya pendidikan tradisi ini mempunyai kurikulum yang terlalu sempit kerana pelajaran adalah terhad kepada teks Al-Quran sahaja. Namun, kelebihan yang boleh diperolehi daripada aspek pengajaran sebegini ialah ia telah berjaya mewujudkan ramai tokoh agama yang bukan sahaja terkenal dalam bidang agama, tetapi juga mempunyai tahap etika yang amat tinggi.

Perkembangan sistem pendidikan semasa penjajahan British(1984-1986) pula bermula setelah Francis Light mengambil Pulau Pinang hingga menjelang Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, kerajaan British mula memberi perhatian terhadap pendidikan di negeri-negeri Selat. Blundell(Gabenor negeri Selat) telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah Vernakular Melayu di negeri-negeri Selat dengan bantuan kerajaan British. Pada tahun 1856, Blundell dengan bantuan kewangan daripada DYMM Temenggung Johor telah menubuhkan dua buah sekolah Vernakular Melayu di Singapura. Selepas itu, pada tahun 1858 hingga 1863, kerajaan British telah menubuhkan beberapa buah sekolah Melayu di Pulau Pinang dan Melaka.

Mata pelajaran-mata pelajaran yang biasa diaplikasikan di sekolah-sekolah Vernakular ialah Bacaan, Mengarang, Ejaan, Menulis, Ilmu Hisab, Latihan Jasmani dan Ilmu Alam. Gerakan bimbingan juga mula dikembangkan di Tanah Melayu ketika ini. Pejabat Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Tanah Melayu Bersekutu mengeluarkan “A Guide To Careers In Malaya For Parents, Teachers and Pupils”. Buku tersebut mengandungi analisis senarai kerja yang terdapat di dalam perkhidmatan kerajaan.

Pada awal kurun ke-20, mata pelajaran Perkebunan dan Anyaman telah ditambah ke dalam kurikulum sekolah. Murid-murid akan memasuki Darjah I hingga Darjah IV. Selepas itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Special Malay Class, di mana mereka dapat meneruskan persekolahan di sekolah Inggeris kelak.

Sekolah Vernakular Cina yang pertama telah didirikan oleh Persatuan Mubaligh London di negeri Melaka pada tahun 1815, dan kemudiannya di Singapura pada tahun 1819. Pada tahun 1900, dua orang menteri dan pendidik dari negeri China, Kang You Wei dan Liang Qi Chau telah mendirikan sekolah Vernakular Cina dan menggabungkan pengajaran Confucious dengan pengajaran sains Barat. Kurikulum yang diperkenalkan adalah berorientasikan kepada negara China. Sesetengah sekolah dijadikan pusat untuk menyebarkan sentimen anti British. Pentadbiran Inggeris kemudiannya telah mengawal segala aktiviti sekolah dan kurikulumnya menjadi bertambah baik.

Perkembangan sekolah Vernakular Tamil bermula semasa perkembangan ladang getah, kelapa sawit, kopi dan gula di Tanah Melayu. Terdapat ramai buruh dari negara India telah diambil untuk bekerja di estet-estet. Pendidikan dalam bahasa Tamil diberi di salah sebuah sekolah cawangan Singapore Free School mulai tahun 1834. Kumpulan-kumpulan mubaligh Kristian banyak memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan formal dalam bahasa Tamil pada peringkat awalnya. Sehingga tahun 1938, terdapat 13 buah sekolah Tamil kerajaan, 511 buah sekolah estet, 23 buah sekolah mubaligh dan 60 buah sekolah Tamil swasta di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Sepertimana sekolah Vernakular Melayu, sekolah-sekolah Vernakular Tamil terhad pada peringkat rendah sahaja dan seperti sekolah-sekolah Cina, kurikulum sekolah-sekolah Tamil berorientasikan negara asal mereka, India. Buku-buku dan tenaga pengajar dibawa dari Sri Lanka dan India.

Sementara itu, perkembangan bagi sekolah Inggeris pula bermula apabila pada peringkat awal penubuhannya, kebanyakan sekolah Inggeris didirikan daripada hasil usaha kaum mubaligh Kristian. Pada tahun 1816, Penang Free School telah ditubuhkan dan mempunyai beberapa matlamat seperti berikut:

i. untuk semua bangsa;

ii. mendidik supaya berdisiplin, berkelakuan baik dan rajin;

iii. ibu bapa yang berkemampuan dikehendaki membayar yuran sekolah dengan kadar berpatutan;

iv. murid akan belajar membaca dan menulis Bahasa Inggeris dan mempelajari Ilmu Kira-kira;

v. murid Melayu akan diajar Bahasa Melayu;

vi. rancangan yang sama diadakan juga untuk bangsa lain;

vii. murid akan diajar tentang pekerjaan seperti pertukangan menjahit dan lain-lain;

viii. diajar supaya menghormati ibu bapa dan agama Kristian.

Pada tahun 1826, Melaka Free Schol ditubuhkan serta disusuli dengan penubuhan Victoria Insitute pada tahun 1893, Sekolah King Edward VII di Taiping pada tahun 1906. Pada awal kurun ke-20, semua Free School telah diambil alih oleh kerajaan. Pada tahun 1905 pula, sebuah sekolah Melayu iaitu Malay College Kuala Kangsar ditubuhkan khas untuk anak-anak Melayu peringkat atasan. Sementara itu, perkembangan sistem pendidikan untuk tempoh kedua selepas kedatangan British pula bermula dari tempoh 1946-1957. Perkembangan pendidikan terbantut apabila pihak Jepun telah menakluki Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tahun 1945 iaitu pada Perang Dunia Kedua. Pada zaman ini, kebanyakan sekolah terpaksa ditutup dan hanya sebilangan kecil daripadanya digunakan untuk mengajar bahasa Jepun.

Selepas kekalahan pihak Jepun ke atas pihak Inggeris, kurikulum asal telah diaplikasikan semula. Walau bagaimanapun, beberapa laporan cadangan terhadap kurikulum baru telah digubal. Laporan-laporan yang dimaksudkan ialah Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Laporan Razak 1956.

Di antara cadangan yang telah dikemukakan ialah menuntut kerajaan supaya menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran dan pembelajaran serta menyediakan guru-guru terlatih di sekolah-sekolah. Guru-guru ini merangkumi mereka yang mempunyai rekod penilaian yang baik serta mempunyai etika pengajaran yang boleh dicontohi oleh para pelajar.

Sistem pendidikan di Malaysia pada awal kemerdekaan bermula setelah Parti Perikatan merebut 51 daripada 52 kerusi dalam Pilihan Raya Umum pertama di Persekutuan Tanah Melayu.Sistem pendidikan pada zaman ini masih berorientasikan sistem yang telah tercatat di dalam Laporan Razak. Pada tahun 1959, cawangan Universiti Malaya telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Kursus-kursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan, Sastera dan Sains. Pada tahun ini juga Laporan Rahman Talib diwujudkan iaitu pada tahun 1960.

PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN SELEPAS MERDEKA

Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia selepas merdeka bermula pada tahun 1963 hingga 1975. Tahap pertamanya(1963-1965) pula menekankan perlaksanaan Akta Pelajaran 1961. Antara yang dilaksanakan dalam tahap pertama ini, termasuklah pemansuhan Peperiksaan Masuk Sekolah Menengah(1964), penubuhan sistem Pendidikan Aneka Jurusan(1965) dan penubuhan Pusat Latihan Daerah.

Tahap kedua(1966-1970) pula dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia Pertama yang digubal untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang timbul pada masa itu. Antara yang dilaksanakan dalam tempoh ini termasuklah penubuhan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional, penyelarasan sistem pendidikan melalui Polisi Pendidikan Kebangsaan serta penubuhan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Tahap ketiga(1971-1975) merupakan pengubahsuaian sistem pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan-keperluan perkembangan ekonomi serta mengeluarkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi melancarkan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Antara yang ditekankan ialah peranan pendidikan dalam perpaduan(Rancangan Malaysia Kedua), penubuhan Rukun Negara dan Pusat Pengajian Sains.

PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN SEMASA

Dalam jangka waktu ini, ideologi negara bagi sistem pendidikan adalah Rukun Negara dan tumpuannya adalah sejajar dengan pembangunan negara. Aspek yang sangat penting dalam pendidikan iaitu berkaitan dengan etika turut ditekankan dalam Rukun Negara, iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Aspek ini sering diaplikasikan dalam banyak mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah bagi mewujudkan para pelajar yang tinggi moral dan etika mereka.

Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ditubuhkan pada bulan September 1974 untuk mengkaji pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan bagi:

Mengkaji semula matlamat dan berkesannya sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar palajaran yang wujud, dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.”

(Sumber: Education In Malaysia, 1980)

Mengikut Laporan Kabinet pada tahun 1979 bagi peringkat sekolah rendah iaitu kurikulum, kemahiran adalah tertumpu kepada bidang komunikasi, alam sekitar, perkembangan diri yang menekankan aspek 3M dan perkembangan bakat, membantu murid yang lemah serta mengadakan program pengayaan, pengajaran pemulihan diperbaiki lagi dan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dicadangkan.

Bagi peringkat sekolah menengah pula, sistem baru bagi pelajaran vokasional, jurusan perdagangan dipertingkatkan, penekanan terhadap mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa, penekanan kepada aktiviti ko-kurikulum, bimbingan dan kaunseling diwujudkan di sekolah serta Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dicadangkan.

Pada tahun 1990-an, peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR), Penilaian Menengah Rendah(PMR), Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) telah diperkenalkan. Selain itu, beberapa akta telah digubal untuk memantapkan sistem pendidikan di negara ini termasuklah:

i. Akta Pelajaran 1995

ii. Rang Undang-Undang Pendidikan 1995

iii. Rang Undang-Undang Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996

iv. Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej(Pindaan 1996)

v. Rang Undang-Undang Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996

vi. Rang Undang-Undang Lembaga Akreditasi Negara 1996

Perkembangan terhadap sistem pendidikan berterusan sehingga ke hari ini antaranya termasuklah penubuhan Sekolah BESTARI 1995, Koridor Raya Multimedia 1999, Ujian Bahasa Inggeris(MUET), PSMI 2003, Sekolah Wawasan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006. Perlaksanaan pelbagai program ke arah perkembangan sistem pendidikan ini akan berlanjutan untuk masa-masa yang akan datang. Pelajar-pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan terus meningkat dari setahun ke setahun dalam mendaftarkan diri mereka ke sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

0 comments: