BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 16, 2010

Perkembangan Kurikulum dan Perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)

Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan agar setaraf dengan negara – negara maju yang lain, tahun 1986 hingga awal tahun 1991 adalah merupakan tahap terpenting dalam sejarah pendidikan negara di mana pelbagai perubahan telah dilaksanakan dalam banyak aspek, di samping berusaha untuk menangani cabaran perkembangan semasa yang mana telah mula mengabaikan nilai kerohanian dan juga nilai murni dalam kehidupan masyarakat pada waktu tersebut. Perlaksanaan kurikulum baru KBSR adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perlaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979. Berikutan itu, Kementerian Pendidikan pada ketika itu telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan perakuan yang terkandung dalam laporan tersebut. Oleh yang demikian, kurikulum di peringkat rendah dan menengah telah dikaji dan digubal semula dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan negara. Oleh yang demikian, segala perubahan dalam kurikulum, cita - cita FPN dan pendekatan yang menekankan kesepaduan dalam kurikulum menengah perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat agar hasrat murni yang ingin dicapai melalui pendidikan dapat dijayakan dengan berkesan dan sempurna.

Penggubalan semula Falsafah Pendidikan Negara yang dahulunya hanya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan, menyebabkan berlakunya keperluan untuk mengkaji semula keseluruhan system dalam pendidikan kebangsaan. Kesinambungan daripada perubahan ini, maka terhasilnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilancarkan sepenuhnya pada tahun 1983. Kurikulum ini digubal bagi memastikan setiap murid diberi peluang untuk mendapatkan kemahiran, pengetahuan, nilai, sikap dan amalan kehidupan yang diperlukan. Falsafah KBSR ialah memberi pendidikan yang bercorak pendidikan asas dengan penegasan terhadap kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. KBSR turut memberi penekanan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh dan seimbang dari aspek JERIS serta pemupukan dan perkembangan bakat seseorang individu itu. Antara objektif penting pembentukan KBSR yang perlu dicapai pula ialah yang pertama, murid dapat menguasai dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai alat perpaduan dengan baik dan memuaskan. Yang kedua, murid dapat menguasai kemahiran asas bahasa iaitu kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah rendah iaitu Bahasa Melayu. Seterusnya yang ketiga pula ialah, melalui KBSR, pembinaan sikap dan perlakuan yang baik berpandukan nilai – nilai kemanusiaan dan kerohanian yang berlandaskan RUKUN NEGARA dapat dipupuk dikalangan murid. Yang keempat, murid dapat bergaul , menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat kerjasama dan toleransi. Dan yang kelima, murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan, kefahaman, minat serta kepekaan terhadap manusia dan alam sekitar.

KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dengan persekitaran dan bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi pada asasnya terdiri daripada komponen Kemahiran Asas yang mengandungi mata pelajaran Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris serta matapelajaran Matematik. Bidang Kemanusiaan dan Alam Sekitar pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Kerohanian, Nilai dan Sikap serta Komponen Kemanusiaan dengan Alam. Mata pelajaran yang mewakili bidang ini ialah matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bidang yang ketiga pula iaitu bidang perkembangan diri individu terdiri daripada komponen Kesenian dan Reakreasi yang mengandungi matapelajaran Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani. Berdasarkan perkara yang berkaitan di atas, maka jelaslah bahawa matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai – nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.

0 comments: