BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 16, 2010

Perkembangan Falsafah Pendidikan Barat, Timur & Islam terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menjadi panduan dan arah tuju kepada segala usaha mengembang dan memajukan sistem pendidikan di Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diumumkan pada tahun 1988 telah menjadi pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara berdasarkan dua ayat panjang yang berikut:

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara,"

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan mempunyai nilai-nilai yang murni seperti kepercayaan kepada Tuhan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, setia kepada negara serta boleh memberi sumbangan untuk mencapai kemajuan negara serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat harmonis yang berbilang kaum. Program Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah dirancang bertujuan mencerminkan Falsafah dan Matlamat Pendidikan Negara ini.

Sekiranya kita membuat perbandingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan falsafah-falsafah pendidikan yang lain, sama ada di negara Barat, Timur mahupun falsafah pendidikan Islam, falsafah pendidikan di Malaysia merupakan suatu falsafah pendidikan yang mempunyai keistimewaan dan ciri-ciri tersendiri. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada unsur-unsur yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai kaitan erat dengan falsafah-falsafah pendidikan Barat, Timur dan juga falsafah pendidikan Islam.

Secara keseluruhannya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan lebih mirip atau mempunyai banyak persamaan dengan falsafah pendidikan rekonstruktivisme. Theodore Burghard Hurt Brameld (1904-?) menggabungkan teori progresivisme dengan behaviorial sains sebagai asas rekonstruktivisme. Beliau berpendapat bahawa pengalaman sebenarnya terhasil daripada interaksi manusia dengan elemen-elemen dalam alam persekitaran dan alam sosial. Dengan erti kata yang lain, pengalaman individu merupakan tempat utama dalam proses interaksi tersebut. Beliau juga menekankan bahawa nilai berubah mengikut perubahan masyarakat. Nilai yang tertinggi akan dapat dicapai apabila individu dan masyarakat memperolehi kepuasan dalam peringkat penyempurnaan. Kedua-dua falasafah ini jelas menekankan bahawa matlamat utama pendidikan sebagai pencapaian kesejahteraan diri dan membentuk masyarakat yang stabil demi keharmonian dan kemakmuran.

Memandangkan falsafah pendidikan rekonstruktivisme adalah berasaskan falsafah progresivisme, maka falsafah pendidikan di Malaysia pula mengandungi ciri-ciri progresivisme dan pragmatisme. Menurut John Dewey dan ahli-ahli progresivisme, pelajar merupakan peranan utama dalam pembelajaran. Mereka berpendapat segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang berdasarkan minat, keperluan dan kebolehan pelajar. Mereka menggambarkan pelajar sebagai individu yang berpengalaman, bermotivasi kendiri dan mempunyai naluri ingin tahu. Oleh hal yang demikian, mereka harus diajar dengan pendekatan kajian sosial, projek, penyelesaian masalah dan ujikaji. Guru yang berkesan adalah guru yang memainkan peranan sebagai pembimbing dan penasihat dengan membimbing pelajar. Ciri-ciri ini boleh dikenalpasti berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Menengah yang menitikberatkan penggunaan kaedah praktik dan kaedah inkuiri-penemuan serta strategi pemusatan pelajar untuk membolehkan pelajar memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran secara individu. Di dalam tempat belajar, sekolah merupakan sebuah masyarakat kecil yang bercorak demokratik, membolehkan pelajar berinteraksi, bekerja dan hidup secara berkumpul sekali gus menyokong penggunaan strategi kolaboratif dan koperatif dalam aktiviti-aktiviti pendidikan. Selain daripada pengajian bidang kemanusiaan dan sains tulen, kurikulum sekolah pula merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, iaitu mata pelajaran yang memupuk kemahiran daya cipta dalam kalangan pelajar sebagaimana yang dititiberatkan dalam falsafah tersebut.

Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, salah satu fungsi pendidikan di Malaysia ialah mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu, demi membentuk insan, yang harmonis dan seimbang. Fungsi ini pula boleh dihayati daripada falsafah pendidikan Barat iaitu rekonstruktisme serta falsafah pendidikan Timur iaitu Konfusianisme, Nasionalisme dan Internasionalisme.

Menurut falsafah pendidikan China, Mazhab Konfusianisme, peranan utama pendidikan ialah membina tingkah laku manusia supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia, mengikut peraturan serta taat dan cinta kepada pemerintah dan negara. Pendidikan disifatkan sebagai alat penting untuk mengekalkan nilai dan norma masyarakat yang penting untuk membawa kestabilan, kesejahteraan, dan keharmonian kehidupan. Mereka juga menganggap fitrah manusia mengandungi nilai murni baik hati, dan nilai baik hati ini dapat diperkembangkan melalui proses pendidikan. Walau bagaimanapun, untuk menjadi manusia yang sempurna dan berupaya memberi sumbangan kepada kemajuan masyarakat, pelajar hendaklah dididik dengan nilai, norma, peraturan dan kebudayaan masyarakat.

Membentuk individu yang menyeluruh juga berkaitan dengan falsafah pendidikan nasionalisme dan internasionalisme di India. Rabindranath Tagore (1861-1941) mentafsirkan pendidikan sebagai proses bertujuan untuk melahirkan manusia yang berfikiran sempurna, berupaya mencapai segala aspek kehidupan, segala aspek fizikal, intelek, moral dan kerohanian dengan penuh makna. Beliau juga berpendapat pendidikan harus menjadi satu proses berhidup, dinamik serta realistik, iaitu tidak semata-mata terikat kepada buku, tetapi harus dihubungkaitkan dengan pengalaman kehidupan manusia. Seorang yang berpendidikan dengan erti kata sebenar ialah bukan sahaja berfikiran cergas, saintifik, bersih, berani dan bebas, tetapi juga mendukung sikap nasionalisme yang ideal, menpunyai kecekapan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara, serta berpandangan dengan sikap internasionalisme yang positif.

Jika dibandingkan dari aspek falsafah pendidikan Islam, perkembangan individu dari segi intelek, rohani, emosi adalah berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula kita dapat menghayati falsafah pendidikan Islam ini. Tambahan pula Pendidikan Agama dan Pendidikan Moral dalam KBSR dan KBSM mencerminkan ciri-ciri pembelajaran afektif untuk perkembangan individu, khasnya dari segi rohani, emosi dan agama.

Memandangkan sebab sistem pendidikan menitikberatkan pembelajaran 3M dan dikehendaki mematuhi kewibawaan dan autoriti guru, falsafah pendi­dikan di Malaysia boleh dikatakan pula mengandungi unsur essensialisme yang bercorak tradisional. James B. Conant (1893-1978) dan Hyman George Rickover (1900-?), berpendapat fitrah manusia sebenarnya kekurangan nilai-nilai murni yang sempurna. Sama ada dapat dibaiki untuk menjadi insan yang baik adalah bergantung kepada pengaruh kebudayaan masyarakat, iaitu melalui latihan intelek dan mental untuk membentuk personaliti dan mental mereka ke tahap keharmonian dan penyempurnaan. Mengikut mereka, guru memainkan peranan yang utama dalam proses pendidikan, membantu pelajar memperolehi keperluan dan kualiti kehidupan orang dewasa, agar mereka dapat berjaya hidup dalam masyarakat secara terus menerus. Guru hendaklah mengamalkan sikap pimpinan demokratik, mengambil inisiatif untuk menjalankan tugas sebagai pengajar, kreatif membentuk iklim kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dan mahir menggunakan teknik peneguhan ataupun ganjaran dan denda.

Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa (1994) merumuskan bahawa falsafah pendidikan di Malaysia sebenarnya dikenali sebagai falsafah eklektisisme, iaitu sesuatu falsafah yang dicipta tersendiri daripada pelbagai falsafah yang sedia ada. Pendapat ini amat jelas dan tepat menggambarkan perkembangan sistem pendidikan di Malaysia dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dicipta mengikut acuan rakyat Malaysia sendiri berdasarkan falsafah-falsafah yang sedia ada dan direka bentuk sedemikian rupa demi merealisasikan hasrat rakyat Malaysia ke arah kecemerlangan pendidikan.

0 comments: