BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, March 19, 2010

Pengenalan Kepada Tamadun China

Dalam kebanyakan tamadun dunia, sungai seolah-olah memainkan peranan penting dalam memulakan sesebuah tamadun itu. Sungai mempunyai beberapa fungsi yang dapat membina sesebuah tamadun itu. Penduduk yang berdekatan dengan sungai akan mendapat beberapa ke-mudahan untuk kehidupan seharian mereka. Antaranya ia digunakan sebagai kawasan pertanian, perhubungan, makanan dan menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu sungai membantu penduduk sekitarnya untuk hidup lebih selesa dan berjaya membina kota-kota sehingga terbinanya sebuah tamadun agung.

Sehubungan dengan hal ini, peranan sungai adalah penting dalam pembinaan Tamadun China. Pada peringkat awal penduduk China menikmati kemakmuran hasil daripada kesuburan tanah di sekitar Huanghe atau Sungai Kuning di utara China. Sungai ini mengalir dari pergunungan Kunlun ke timur merentasi utara China sehingga ke Teluk Bo Hai. Sungai ini mempunyai kepanjangan 3395 batu dan namanya diambil sempena daripada kelodak berwarna kuning yang dibawa oleh sungai ini untuk membanjiri kawasan sekitar­nya. Kebanjiran kelodak-kelodak ini membantu kesuburan tanah di kawasan sekitarnya. Dari kesuburan tanah itu maka munculnya perkembangan perta­nian di lembah sungai tersebut.

Pada sekitar tahun 3950-1700 S.M di lembah sungai itu terdapat apa yang dipanggil Budaya Yangshao dalam era Neolitik di China. Budaya ini merupakan budaya masyarakat petani semi-tetap yang menjalankan aktiviti tebang dan bakar. Terdapat juga aktiviti memungut dan memburu serta menanam sekoi dan gandum. Aktiviti pengeluaran sutera juga dijalankan. Pada masa ini juga masyarakatnya menghasilkan tembikar tanah liat merah yang diwarnakan dengan garisan hitam atau ungu. Menurut lagenda, pada sekitar tahun 2000 S.M., muncul seorang pemimpin di lembah tersebut yang dikenali sebagai Huang Ti atau Maharaja Kuning. Beliau dianggap pemimpin yang berwibawa dan terkuat di Lembah Sungai Kuning. Kepentingan pemerintahan beliau merupakan era peralihan dari Zaman Neolitik ke Zaman Gangsa apabila besi mula menggantikan batu. Dari situ muncul pula kegiatan ekonomi yang lebih sempurna seperti kegiatan penternakan, pembinaan empangan serta penge­luaran dan penenunan sutera.

Hasil daripada perkembangan ini maka muncullah kumpulan atau keluarga yang kuat untuk menubuhkan sebuah dinasti. Dinasti awal yang muncul ialah Dinasti Hsia. Menurut satu puisi tradisional, Dinasti Hsia (Xia) dibina oleh Yu, iaitu pemerintah mistik dan penaung kepada pertanian. Beliau didakwa membantu mengelakkan berlakunya banjir dan menjaga kadar air di Sungai Kuning. Beliau juga berusaha menghapuskan raksaksa dan semangat jahat. Walau bagaimanapun kewujudan Dinasti Hsia masih menjadi tanda tanya. Ini kerana tidak terdapat bukti-bukti arkeologi mengenai kewujudan dinasti ini.

Pada masa yang sama di bahagian tengah dan selatan China terdapat juga petempatan-petempatan neolitik. Di bahagian tengah China terdapatnya sungai terpanjang di China dan ketiga panjang di dunia iaitu Sungai Yangtze atau Yangzijiang. Panjang sungai ini adalah 3,915 batu yang berpunca dari Pergunungan Qinghai dan Tibet. Sungai ini mengalir melalui bahagian tengah China ke timur dan berakhir di Laut China Timur. Di sini seperti penduduk t angai Kuning terdapatnya kegiatan memburu, menangkap ikan dan me-mungut makanan. Kehidupan neolitik ini juga dijumpai di gua-gua batu di Wilayah Guangdong dan Budaya Peng-Keng di Taiwan (5000 ke 3000 S.M).

Bertitik tolak dari perubahan yang berlaku ke atas kegiatan manusia di sungai Kuning dan Sungai Yangtze, maka secara beransur-ansur terbinanya Tamadun China. Dari situ munculnya beberapa lagi pembaharuan dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Manakala interaksi antara tamadun luar juga telah menyuburkan Tamadun China. Apa yang menarik dalam perkembangan dan pencapaian Tamadun China ialah ketahanan tamadun ini terhadap perubahan masa sehingga masih kekal hingga ke hari ini.

0 comments: