BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 17, 2010

Konsep Penilaian

Penilaian merupakan suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara. Menilai boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai the process of delineating, obtain­ing, and providing useful information for judging decision alternatives. Definisi ini menjangkau sehingga melepasi maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap bersistem semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bertujuan untuk membolehkan guru dapat membuat per­timbangan atau keputusan yang tepat berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini berbeza daripada peng­ukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) mentafsirkan pe­nilaian yang bersistem mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur atau menilai pencapaian murid? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian murid melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan mengguna­kan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan, penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibat­kan pertimbangan nilai semata-mata.

Dengan itu, di sini jelas menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-duanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperoleh melalui penilaian dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami. Sementara secara kualitatif pula, maklumat dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor. Contohnya, Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan kemas.

Secara ringkas, prosedur penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperoleh.

0 comments: