BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 17, 2010

Konsep Pengukuran

Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran bermaksud sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.

Biasanya kita mewakilkan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mevvakili sifat tertentu. Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus dalam ujian Matematik. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli sama ada baik atau sebaliknya. Akan tetapi, kita hanya mengukur tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran hanyalah merupakan penentuan status atau tahap.

Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan maklumat berbentuk kuantitatif menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala pemeringkatan. Berbeza daripada pengujian yang hendak mendapatkan maklumat sebanyak mana prestasi yang diperoleh, pengukuran pula menjurus pada banyak mana skor atau markat yang diperoleh dengan menggunakan proses tertentu.

Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat berbanding dengan pengukuran ketinggian fizikal seseorang individu yang menggunakan alat ukur yang tepat seperti penggunaan pembaris. Sebagai contoh, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90 itu dua kali angka 45. Sementara seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau tidak memahami sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Hal ini jelas menunjukkan pengukuran aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian murid menggunakan kayu ukur atau pembaris.

Oleh itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan cacat, maka sudah pastilah hasil yang diperoleh daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.

0 comments: